BIOGRAFI DATUK SERI VIDA

by 06:06:00 0 comments

Usahawan berjaya yang saya pilih ialah Datuk  Dr Hajjah Hasmizah Othman atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Datuk Seri Vida (DSV). Beliau memulakan kerjaya ini dari bawah sehinggalah sekarang menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat yang menggunakan produk daripada hasilan syarikatnya sendiri. Datuk Seri Vida merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Vida Beauty Sdn.Bhd yang terletak di Bandar Ipoh, Perak. Beliau seorang yang sangat peramah dan dikenali oleh masyarakat disebabkan produknya seperti Qu Puteh dan Pamoga yang menjadi fenomena luar biasa pada masa kini. Terdapat beberapa ciri usahawan dalam diri beliau yang dapat dicontohi oleh generasi sekarang untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya dan terkenal.

Antara ciri yang ada pada beliau ialah berani mengambil risiko dalam perniagaannya. Risiko merupakan sesuatu yang perlu dihitungkan terlebih dahulu secara terperinci bagi setiap usaha teroka supaya risiko yang ditanggung itu sederhana, boleh dikawal, munasabah dan berpatutan. Ia juga dapat dipindahkan kepada pihak tertentu seperti bank, pelabur, pelanggan, pembekal dan lain-lain pihak yang berkaitan. Contohnya,  Datuk Seri Vida melabur RM 3 Juta untuk menaja Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) dan impaknya produk beliau, Qu Puteh menjadi fenomena yang sangat luar biasa. Namun, beliau juga tidak dapat lari daripada menjadi kutukan segelintir masyarakat apabila dia dituduh gila glamor dengan mengiklan diri dan produknya  secara berlebihan ketika siaran langsung AJL29. Ini adalah risiko yang perlu seorang usahawan harungi dalam bidang perniagaan. Pelbagai tohmahan, kritikan, persepsi masyarakat yang akan didengar dan diterima. Tidak semua usahawan yang berani mengambil risiko sesuai dengan keupayaan diri sendiri dalam bidang perniagaan yang semakin meningkat persaingan ini.

Selain itu, proaktif merupakan inisiatif dan tanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh. Ciri ini menunjukkan bahawa usahawan harus mempunyai semangat atau tabiat untuk melaksanakan tanggungjawab tanpa diarah atau dipaksa. Misalnya, DSV pada waktu lalunya pernah mengambil upah dengan menjual nasi lemak dengan keuntungan RM 0.30 sen. Beliau juga mula menjual pelbagai barangan seperti kain telekung, batik dan lain-lain kepada pensyarah dan kakitangan universiti. Manakala, pada cuti semester beliau bekerja sambilan di restoran segera. Ini semua untuk menampung kos pelajarannya dan meringankan beban ibunya setelah mereka kehilangan tempat bergantung. Pelbagai cara beliau gunakan untuk mendapatkan duit disamping menarik kepercayaan orang ramai untuk membeli barangan beliau. Sikap inilah yang perlu ada sebagai seorang usahawan bagi memperlihatkan kesungguhan demi menyakinkan pihak-pihak yang akan kita berurusan untuk mendapatkan sokongan.

Seterusnya, ciri yang perlu ada pada usahawan juga ialah matlamat dan wawasan. Usahawan yang mempunyai matlamat dan wawasan memperlihatkan bahawa beliau juga mempunyai impian dan cita-cita tinggi yang ingin dicapai pada masa hadapan. Usahawan juga memerlukan penelitian dan kajian rapi serta mempunyai kecekapan dari segi pemikiran. Contohnya, jiwa Datuk Seri Vida sentiasa memberontak untuk mencuba karier yang lebih mencabar daripada kerjayanya sebagai pendidik sedangkan beliau mempunyai kelulusan sebagai Doktor Falsafah. Namun, disebabkan kegelisahan yang membolehkan beliau demam kalau tidak berniaga itu mendorong beliau untuk menceburi dalam bidang perniagaan sebagai destinasi kerjaya pilihan. Beliau bermula dengan membuat pelbagai produk kecantikan bagi memenuhi keperluan pelanggan  di salon bagi rawatan wajah. Setelah beberapa lama, gelombang produk kecantikan dari luar mendapat permintaan tinggi menyebabkan beliau berani untuk menghasilkan produk kecantikan sendiri secara kecil-kecilan sehingga sekarang menjadi sangat terkenal. Inilah yang dikatakan yakin terhadap kebolehan diri dan mempunyai pendirian untuk membuat sebarang keputusan dalam segala tindakan bagi mencapai matlamat dan visi organisasi.

Di samping itu, kegagalan adalah satu pilihan sebelum kita mengecapi apa itu berjaya. Usahawan ini diibaratkan sedang berhadapan dengan medan peperangan. Masalah yang sering dihadapi ialah dari segi aspek pengurusan kewangan, pemasaran, pengeluaran, pengurusan pekerja dan organisasi keseluruhannya. Kebolehan dalam menyelesaikan masalah memudahkan usahawan untuk menghadapi segala kepayahan dan kesulitan dengan tenang tanpa membantutkan usaha mereka untuk terus maju. Datuk Seri Vida mendapat wang tertunggak sebanyak RM 500,000.00 dan beliau memberanikan diri membeli iklan untukmempromosi produknya. Malangnya, akibat salah cara pengiklanan beliau mengalami kerugian besar kerana produknya tidak mendapat sambutan. Oleh sebab itu, DSV mula berhati-hati dalam penajaan dimana beliau menetapkan stesen tv perlu mengikut caranya. Contohnya, tajaan beliau kepada Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) dan Gegar Vaganza. Hasilnya, permintaan dan jualan melonjak naik  disebabkan sambutan orang ramai hari demi hari sehingga kehabisan stok. Ini menunjukkan kegagalan itu adalah satu pilihan yang perlu digunakan untuk mendapat hasilnya pada masa depan.

Akhir sekali, ciri yang perlu ada ialah berorientasikan hasil dimana menitikberatkan mutu kerja. Usahawan bukan sahaja dapat menyakinkan para pembeli dan pelanggan tetapi juga dapat memuaskan kehendak dan keperluan mereka. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan prestasi serta imej perniagaan usahawan. Contoh, DSV memberanikan diri memperkenalkan minuman kesihatan di bawah jenama Pamoga. Produk itu menjadi fenomena yang membolehkan beliau berubah sekelip mata menjadi jutawan sehingga mampu membina Wisma Vida Beauty yang tersergam indah dan mewah di Bandar Ipoh. Vida Beauty kini memiliki lebih 400 stokis di seluruh Negara termasuk di Brunei dan Singapura dengan menggajikan kakitangan seramai 130 orang.

Kesimpulannya, ciri-ciri yang ada pada Datuk Seri Vida ini dapat memberi banyak manfaat kepada bakal-bakal usahawan muda. Beliau mempraktikkan segala pengetahuan yang ada demi mencapai apa yang diinginkan itu menjadi suatu kenyataan. Seorang usahawan perlulah berfikiran terbuka dan mempunyai banyak pengalaman untuk menjadikan diri sendiri matang dan berani dalam membuat segala tindakan serta keputusan. Akhir kata, generasi sekarang hendaklah mengambil iktibar apa yang berlaku kepada usahawan-usahawan yang ada di Malaysia.



Unknown

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment